akademia

UKLK terus tunjuk keunggulan

Oleh Rosyahaida Abdullah

UNIT Kediaman Luar Kampus (UKLK) sekali lagi dinobatkan Juara Keseluruhan bagi Festival Kesenian Kolej Kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (Frekuensi) yang berlangsung, baru-baru ini.

Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Dr Che Gani Che Kop melahirkan rasa bangganya atas pencapaian mahasiswa yang berjaya membuat persembahan cemerlang pada tahun ini.

Kumpulan dari UKLK berjaya merangkul kemenangan dalam enam kategori iaitu Johan bagi Musical Unplugged, Johan bagi Nyanyian Solo Irama Malaysia Kategori Perempuan, Johan bagi Teater Pendek, Johan bagi Tarian Rampaian Malaysia, Naib Johan bagi Kaligrafi dan Tempat Ketiga bagi Nyanyian Solo Irama Malaysia Kategori Lelaki.

Persaingan sengit menyaksikan Kolej Ungku Omar (KUO) memenangi tempat kedua, manakala kolej Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) di tempat ketiga. Turut bersaing, Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Kolej Za’ba dan Kolej Aminuddin Baki.

Beliau berkata, UKLK turut menyertai pertandingan lain seperti Kompang Formasi, Dikir Barat dan Berbalas Pantun.

“Peserta UKLK memberikan komitmen yang sangat baik dan melakukan persembahan terbaik pada hari pertandingan sehingga merangkul kejuaraan dua kali berturut-turut.

“Acara yang dipertandingkan termasuk Kompang Formasi, Nanyian Solo Irama Malaysia, Tarian Rampaian, Dikir Barat, Berbalas Pantun, Frekuensi Rentak Bitara, Monolog Sebabak, Kaligrafi serta Fotografi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Md Amin Md Taff berkata, Frekuensi 2019 adalah program yang bertujuan mencungkil bakat mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam aspek kesenian dan kebudayaan.

“Ia menjadi platform untuk membantu, melatih dan memberi pendedahan kepada mahasiswa yang mempunyai bakat terpendam ke arah pertandingan peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 9:37am
d