mutakhir

Kes Nora tetap bukan jenayah

Oleh BERNAMA

PEJABAT Peguam Negara sebelum ini memutuskan bahawa kes remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang dari vila penginapan keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, Seremban, Ogos tahun lalu, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu media bahawa ia berdasarkan laporan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara berkaitan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“(Laporan) SDR itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan (kepada) keputusan patologi yang sudah kita rakam dan berdasarkan sijil kematian cause of death Nora Anne menyatakan (kematiannya adalah) kerana disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara sudah memutuskan pada ketika itu kes ini NFA. (Pasukan) patologi saya percaya dalam preparation (persediaan) untuk menghantar secara rasmi laporan (lengkap) post mortem,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Pada 17 Disember lalu, ibu bapa Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, 45, dan Sebastian Marie Philipe, 47, mendakwa kehilangan anak mereka pada Ogos lalu mempunyai unsur jenayah.

Berhubung tindakan saman sivil yang diambil keluarga berkenaan ke atas resort itu, Huzir menegaskan bahawa ia perkara itu membabitkan keluarga mangsa dengan resort berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini, pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di UK (United Kingdom),” katanya.

Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lalu, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 4:42pm
d