Moscow: Seorang wanita kini tenat selepas tertembak dirinya ketika merakam selfie dengan pistol menggunakan telefon pintar.

Wanita itu menemui pistol berkenaan di pejabatnya selepas ia ditinggalkan seorang pengawal keselamatan.

Mangsa memutuskan untuk merakam gambarnya dengan pistol 9mm itu sambil sebelah tangannya lagi memegang telefon.

Dia dipercayai tertarik picu senjata itu ketika hendak merakam gambarnya, menyebabkan dia tertembak dirinya dari jarak dekat, lapor agensi berita Interfax.

Peluru itu menembusi pelipisnya dan dia dikejarkan ke Hospital Sklifosovsky di Moscow.

Doktor berkata, keadaannya amat tenat.

Seorang pengawal keselamatan meninggalkan pistol itu di pejabat berkenaan dua minggu lalu sebelum bercuti.

Pengawal itu berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya didapati bersalah atas tuduhan cuai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:37 AM