mutakhir

Bantu pelarian hadapi musim sejuk [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PERTUBUHAN kemanusiaan, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) menggerakkan misi kemanusiaan ‘Bantuan Musim Sejuk Syria’ bagi mengagihkan bantuan kepada pelarian Syria di negara berkenaan.

Kumpulan misi kali ini disertai empat orang termasuk wakil dari Harian Metro berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam ini dalam misi memberi bantuan kepada masyarakat Islam yang dihimpit kesusahan akibat peperangan.

Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care, Nazmi Abdul Karim berkata, pihaknya akan berada di Idlib, Syria selama seminggu bagi membantu mereka menghadapi musim sejuk.

Menurutnya, jumlah terkumpul setakat ini hasil sumbangan orang ramai adalah RM500,000.

“Kita juga membina khemah, menyediakan bantuan perubatan, makanan dan pakaian yang dapat meringankan beban mereka.

“Sebanyak 50 khemah yang dapat menempatkan 400 orang turut dibina di Harbanush utara Idlib, Syria,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan bagi menjayakan misi ini.

Sementara itu, Pakar Bedah Pediatrik Dr Syariz Izry Sehat yang menyertai misi ini turut dilantik secara rasmi sebagai Duta Muslim Care.

Dr Syariz mengucapkan terima kasih di atas pelantikan ini dan sedia membantu demi ummah.

Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan di akaun Muslim Care di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717).

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 10:33pm
d