mutakhir

Hospital lama Alor Setar selamat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berjaya mengawal kebakaran membabitkan lapan hektar belukar dari merebak ke bangunan Hospital Lama Alor Setar di sini, hari ini.

Anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk memadam kebakaran itu manakala asap tebal turut berkepul-kepul.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, api merebak dengan cepat akibat faktor angin, cuaca panas dan rumput kering.

“Kami menerima panggilan kebakaran jam 3.57 petang.

“Anggota BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi bersama 15 anggota dan tiga jentera.

“Operasi pemadaman dibantu anggota BBP Jalan Raja dan tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Taman Mutiara,” katanya.

Menurut beliau, kebakaran membabitkan belukar yang luas dan pihaknya berjaya mengawalnya daripada merebak ke hospital lama serta kedai.

Katanya, api dapat dikawal sepenuhnya jam 4.47 petang.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 6.02 petang. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 10:36pm
d