mutakhir

Kumpulan lelaki cuba serang Papagomo

Oleh Juwan Riduan

VIDEO berdurasi satu minit lapan saat memaparkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo cuba diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, hingga tular di media sosial.

Kejadian jam 7.30 malam itu dirakam pengunjung yang berada di KKIA sebelum dimuat naik ke Facebook (FB) dan dikongsi di aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, Papagomo dikatakan sedang mendaftar di kaunter di KKIA lalu berlaku pertengkaran antara sekumpulan lelaki sebelum berlanjutan sehingga tolak-menolak.

Bagaimanapun beberapa anggota polis yang berada di lokasi berjaya menenangkan keadaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

"Kita ada menerima maklumat mengenai kejadian itu namun sehingga ini tiada laporan polis dibuat," katanya.

Difahamkan sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan Papagomo mengoyak gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengadakan demonstrasi jalanan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Rata-rata netizen mengecam tindakan itu kerana tidak menghormati budaya saling hormat-menghormati antara satu sama lain di negeri ini.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 11:08pm
d