mutakhir

Musnahkan semua produk ciplak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LEBIH 3,000 barangan termasuk barang tiruan bernilai RM549,570 yang dirampas oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang bagi tempoh 2008 hingga 2019 dilupuskan, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, semua barangan itu membabitkan empat jenis barang iaitu pakaian, alat timbang, kenderaan dan cakera padat video (VCD) dirampas hasil 14 serbuan dilakukan.

"Semua barangan itu dirampas mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1991, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Tindakan melupuskan semua barangan itu diambil selepas melalui pelbagai prosedur dilakukan termasuk menerima arahan dari mahkamah untuk berbuat demikian," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Cawangan Kajang, hari ini,

Muhamad Zikril berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada wakil cap dagang sepanjang serbuan dan rampasan berkenaan.

"Saya memberi amaran keras kepada peniaga supaya mereka mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Jika orang ramai mempunyai maklumat berhubung barang tiruan, tipu sukatan atau mempunyai keraguan boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui sembilan saluran.

"Ini termasuk melalui pautan http://eaduan.kpdnkk.gov.my, pusat panggilan di talian 1800886800, email di alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my atau mesej di aplikasi Whatsapp di nombor 0192794317," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:44pm
d