mutakhir

Bukit Bendera terbakar lagi

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KAWASAN hutan Bukit Bendera, dekat Georgetown terbakar semula, hari ini selepas dipadamkan bomba tiga hari lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, 3.09 pagi tadi.

Katanya ketika tiba di lokasi, kebakaran hutan itu dianggar berkeluasan 0.4 hektar dan terbakar secara ‘bertompok-tompok’.

“Berikutan tiada laluan, anggota bomba perlu mendaki ke lokasi kebakaran serta membuat kerja pemadaman menggunakan pemerap api dan penembak jet dengan membuat ‘Fire Break’ bagi mengelakkan api merebak lebih luas,” katanya kepada media, hari ini.

Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada 6.35 pagi dan operasi pemadam turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

Rabu lalu, tujuh hektar kawasan hutan antara Tokong Tua Pek Kong dan Bukit Bendera terbakar.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 11:12am
d