mutakhir

Suspek samun cedera ditembak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI warga Indonesia yang juga suspek kes samun bank di sekitar Sungai Buloh cedera di bahagian kaki akibat ditembak anggota polis di Batu 5, Gombak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu, pihak polis mengekori suspek berusia 34 tahun berkenaan yang melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Anggota polis mengarahkan suspek memberhentikan motosikalnya, namun lelaki itu bertindak agresif dan melanggar motosikal seorang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki dan tangan kiri anggota berkenaan.

“Berikutan itu, pihak polis melepaskan dua das tembakan mengenai bahagian kaki kanan suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shafa’aton berkata, suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek menemui satu parang. Suspek juga dipercayai terbabit dengan kes samun bank di kawasan Sungai Buloh bersama lima lagi rakannya yang sudah ditahan sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 2:00pm
d