arena

Thiago Silva tak gusar kelibat Haaland

Oleh Agensi

KAPTEN Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva tidak bimbang berdepan prestasi memuncak penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland menjelang pertembungan perlawanan pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Haaland menyertai Dortmund dari Red Bull Salzburg pada Januari dan meledak sembilan gol buat kelab Jerman itu dalam enam penampilan termasuk membantu kelabnya menang 4-0 ke atas Eintracht Frankfurt, Jumaat lalu.

Secara purata pemain kebangsaan Norway menghasilkan gol setiap 39 buat Dortmund dalam semua kejohanan.

Menakjubkan, dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sentuhan penyerang prolifik itu menghasilkan gol setiap 47 minit, meledak lapan gol dalam enam penampilan buat Salzburg dalam kumpulan yang turut mengandungi Liverpool, Napoli dan Genk.

Menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Westfalenstadion, Thiago Silva memuji kemampuan Haaland namun mengakui tidak akan memberi laluan mudah kepada penyerang berusia 19 tahun itu.

"Dia menjaringkan banyak gol. Sembilan gol dalam enam perlawanan, ia cukup luar biasa dan mengagumkan.

“Saya harap kami akan dapat memberi saingan dan dia tidak akan menjaringkan gol berdepan kami sebaliknya hanya berbuat demikian pada saingan liga.

“Begitupun, pada kami sangat menarik untuk beraksi menentang pemain seperti itu, terutama pemain yang baharu memulakan karier sepertinya. Dia sangat bermotivasi namun begitu juga PSG.

"Adakah kami takut? Kami tak bimbang, tetapi kami menghormati lawan. Saya lihat perlawanan (berdepan Eintracht), mereka mempunyai banyak pemain berkualiti. Kami tidak akan memberi laluan mudah.” kata Thiago Silva.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 8:37pm
d