mutakhir

Pembangunan Kampung Baru: 'Beri saya masa teliti'

Oleh BERNAMA

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan beliau perlu mendengar taklimat kementeriannya dahulu dan meneliti Pelan Pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau berkata, selaku Menteri Wilayah Persekutuan yang baru melapor diri, perkara pertama yang harus dibuatnya adalah mengenali kesemua agensi di bawah kementerian itu dan mendengar taklimat mengenainya.

“Beri peluang terlebih dahulu kepada saya untuk mendengar taklimat oleh ketua-ketua jabatan. Mereka patut beri taklimat kepada saya dan ia tidak akan mengambil masa yang lama.

“Profesion saya sebelum ini ialah seorang perancang bandar. Tidak terlalu sukar untuk saya memahaminya... kemudian saya akan buat keputusan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sebelum memulakan sesi taklimat bersama kesemua agensi di bawah kementerian diterajuinya di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Annuar mengulas mengenai saranan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang dilaporkan berharap barisan Kabinet baharu akan meneruskan Pelan Pembangunan Kampung Baru dan tidak membatalkannya.

Berpengalaman luas dalam aspek perancangan bandar dan Ahli Institut Perancang Malaysia, Annuar juga pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah Perancang Bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1981 hingga 1982.

Ditanya mengenai kenyataan di laman Twitternya, Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kerajaan baharu yang baru dibentuk akan berusaha menyelesaikan permasalahan besar yang dihadapi negara demi rakyat.

Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar mengetip kad perakam masa bagi memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu sambil diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:29pm
    d