ROBIN (kanan) dan Pakar Produk Nike Malaysia Gari Arwin mempamerkan jersi baru.

Kuala Lumpur: Berbaki 23 hari sebelum bermulanya misi merampas kembali Piala AFF daripada Singapura penghujung bulan ini, menyaksikan barisan kendalian Dollah Salleh akan memakai jersi baru dalam kejohanan bola sepak serantau itu.

Ia seharusnya menyuntik 'mood' baru dalam jiwa setiap pemain ketika mengibar cabaran negara apabila syarikat jenama sukan terkenal dunia, Nike menampilkan jersi berwajah baharu dengan corak berjalur kuning-hitam yang mengambil inspirasi jersi skuad kebangsaan 1958.

Menurut Pengurus Pemasaran Nike Malaysia Robin Kok, jersi baru itu dicipta khas bagi menghadapi kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung di Singapura di samping memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi buat meniupkan semangat pemain negara.

"Kami sentiasa berada di belakang pasukan negara dan untuk menghangatkan bahang kejohanan itu, Nike mengeluarkan reka bentuk baharu menggambarkan intipati semangat baharu pasukan ini serta sokongan daripada para peminat di seluruh negara.

"Menerusi inovasi serta teknologi terkini yang diterapkan dalam penciptaan reka bentuk jersi ini, ia memberi keselesaan maksimum kepada pemain ketika beraksi di atas padang," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jersi Baru Harimau Malaya di Pavilion, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:05 AM