mutakhir

Bubur lambuk air tangan petugas barisan hadapan

Oleh Rosman Shamsudin

WALAUPUN sibuk dengan tugas hakiki, namun pertugas barisan hadapan negara sempat meluangkan masa memasak bubur lambuk untuk kakitangan Hospital Slim River (HSR) dan pesakit di Muallim, hari ini.

Mereka terdiri 14 orang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Jabatan Kecemasan dan Trauma HSR yang terbabit dalam memasak bubur lambuk bermula 9 pagi hingga 12 tengahari tadi.

Pengarah HSR, Dr S Sivanandarajah berkata program memasak bubur lambuk ini adalah inisiatif dan hasil sumbangan kakitangan PPK dari Jabatan Kecemasan dan Trauma sendiri yang kali kedua pada Ramadan ini.

Katanya, program ini diharapkan dapat mengurangkan tekanan dan beban kerja sejak kakitangan hospital ini terbabit secara langsung dalam memerangi wabak Covid-19 di daerah ini.

"Kita sedia maklum, sejak wabak Covid-19 menular di negara ini, kakitangan hospital antara barisan hadapan yang berkerja keras tanpa mengira masa serta ada segelintir mereka terpaksa berpisah sementara dengan keluarga.

"Walaupun jasa dan pengorbanan mereka tidak ternilai dengan sebekas bubur lambuk, namun diharapkan mampu memberi sedikit kegembiraan kepada mereka dan membuat mereka rasa dihargai dalam menjalankan tugas demi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sedang mengagihkan kira-kira 200 bubur lambuk untuk kakitangan dan pesakit di HSR.

Turut sama, Timbalan Pengarah HSR, Dr Shazrin Nor Shariza Shariffudin, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HSR, Dr Hafsah Salleh, Penyelia Jabatan Kecemasan dan Trauma, Mohd Nasir Mohamed Nazeri dan Ketua PPK, M.Shatishkumar.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 8:25pm
d