mutakhir

Tukang cat lemas jatuh tali air

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG tukang cat maut akibat lemas selepas motosikal ditunggang terbabas ke dalam tali air di Jalan Permatang Binjai, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang maut dikenali Ahmad Shafizal Rozali, 29, dari Pangsapuri Teluk Air Tawar Indah, Butterworth.

Menurutnya, polis menerima panggilan berhubung kemalangan itu dari orang awam pada jam 8.47 pagi.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan ke rumah rakannya.

"Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian dia gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan masuk ke dalam tali air.

"Akibatnya, mangsa lemas dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyafinaz Abd Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara ditalian 04-5741427 atau tampil di mana-mana Balai Polis berhampiran.

Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan supaya orang awam supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan memandu dengan berhati-hati serta peka dengan isu melanda negara.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 4:29pm
d