KEUTAMAAN perlu dilebihkan kepada ibadat, elak hiburan keterlaluan.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Sekali lagi, kita diberi peluang oleh Allah SWT untuk menempuh bulan penuh berkat, Ramadan dengan berpuasa selama sebulan dan ibadah lain.

Cabaran getir berpuasa zaman digital lebih sukar dengan lambakan status, pos atau perkongsian di laman sosial yang kadang-kadang mengakibatkan kita ‘mengumpat’ orang lain secara tidak langsung malah mungkin dianggap fenomena biasa.

Jika dulu, aktiviti mengumpat mungkin secara berbual biasa, tetapi pada masa ini, ia mungkin terjadi dalam ruang komen Facebook, ‘mention’ di Twitter atau sembang berkumpulan di WhatsApp, belum lagi melihat foto tidak elok di Instagram.

Lebih elok sekiranya aktiviti mengumpat online itu dihentikan dan menggunakan teknologi dengan lebih bermanfaat sebagai platform digital untuk menambah pahala bukan dosa.

Selain itu, keutamaan juga perlu dilebihkan kepada ibadat dan seboleh-bolehnya kita perlu mengelak terlalu menghiburkan diri dengan perkara melalaikan sedangkan teknologi seharusnya mendekatkan diri dengan Tuhan.

Mana tidaknya, jika anda perhati tabiat moden pengguna masa kini, sebaik saja masuk waktu berbuka puasa, mereka tidak membaca doa terlebih dulu, tetapi merakam foto makanan yang terhidang di depan mata.

Berbuka puasa dan telefon pintar kini seakan-akan sukar dipisahkan. Bayangkan anda lebih sanggup menyunting foto berminit lamanya di telefon berbanding menyediakan masa untuk bertadarus walau satu surah ringkas.

Ada pula yang terlalu sibuk berbalas WhatsApp berbanding memanfaatkan telefon pintar yang ada untuk memindah turun aplikasi Quran yang mampu diakses di mana saja pada bila-bila masa.

Namun dengan ada­nya al-Quran secara digital, pengguna perlu lebih berhati-hati terutama de­ngan pelbagai ciri tambahan dalamnya.

Teringat dengan temu ramah bersama Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan, pengguna perlu berhati-hati menggunakan teknologi semasa memandangkan ia boleh menjatuhkan martabat al-Quran itu sendiri jika tidak dipelihara sebaik-baiknya.

“Penggunaan bacaan al-Quran di tempat tidak sepatutnya seperti dalam tandas jika disalahgunakan, hukum haram,” kata Mufti Selangor itu.

Beliau berkata, justeru, umat Islam perlu berhati-hati dengan penggunaan ayat suci al-Quran kerana ia kalam Allah yang tidak boleh dipermain-mainkan termasuk dalam konteks teknologi.

“Bacaan al-Quran melalui telefon pada asalnya bertujuan baik, tetapi kalau disalah guna seperti sengaja memperdengarkan dalam tempat yang tidak elok, boleh menjadi haram.

“Umat Islam perlu menghormati al-Quran walau di mana mereka berada kerana ada ayat menyatakan jika mendengar bacaannya hendaklah diam dan mengambil iktibar,” katanya.

Beliau berkata, sese­orang Muslim perlu sanggup menanggung akibat ketika membawa ayat suci al-Quran ke mana-mana.

“Umat Islam yang menggunakan aplikasi al-Quran hendaklah mematikan telefon bimbit apabila berada di tempat tidak suci seperti dalam tandas dan menjaganya secara teliti bagi mengelak kehormatannya terabai,” katanya.

IT@Metro mengambil kesempatan memperkenalkan aplikasi yang mampu menjadi manfaat ketika Ramadan ini termasuk:

SolQib

SolQib aplikasi yang membolehkan anda me­ngetahui waktu sahur dan berbuka menerusi iPhone anda.

Aplikasi SolQib dbina khusus untuk mempermudahkan urusan bersolat, mengetahui arah kiblat dan masa solat.

SolQib tidak memerlukan capaian data 3G untuk berfungsi yang bermakna jika anda dalam perjalanan jauh, hanya perlu melancarkan aplikasi terbabit bagi mengetahui waktu solat dan arah kiblat.

Ia boleh digunakan

di mana saja di dunia ini dan sudah pasti aplikasi berguna ketika Ramadan yang bermula esok.

Al-Quran terjemahan bahasa Melayu

Aplikasi Android ini sudah pasti memberi kelebihan kepada pengguna yang mahu bertadarus iaitu aktiviti yang sangat digalakkan pada Ramadan.

Lebih menarik, ia disediakan dengan terjemahan bahasa Melayu dengan kemudahan ciri ‘Prayer Reminders’ untuk pemberitahuan waktu solat tempatan anda.

Hanya leretkan dari kiri ke kanan untuk pergi ke surah sebelumnya atau dari kanan ke kiri untuk pergi ke surah berikutnya selain reka bentuk baru jenis ActionBar dan berupaya untuk menyalin ayat terbabit

ke clipboard.

Bagi mencarinya pula, terdapat ikon carian berdasarkan juz atau surah manakala satu klik yang lama membolehkan surah terbabit ditandakan penanda buku, berkongsi di media sosial, aplikasi mesej atau melampirkan nota.

Malah aplikasi sama turut menyediakan fungsi audio yang dialunkan Abdullah Basfar dalam setiap surah.

Panduan Puasa Ramadhan

Aplikasi Panduan Puasa Ramadhan terdiri daripada konsep al-Quran dan sunah merangkumi beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum masuk Ramadan, antaranya niat puasa, waktu pelaksanaan puasa, sahur dan perkara yang wajib ditinggalkan orang

berpuasa.

Selain itu terdapat peringatan hal makruh bagi orang berpuasa, pembatal puasa, berbuka puasa, orang yang mendapatkan keri­nganan untuk tidak berpuasa dan kaedah meng­gantikan puasa.

Sumber rujukan lain yang disalurkan dalam aplikasi ini termasuk ketentuan membayar fidyah, membayar kafarah dan beberapa kesalahan dalam

pelaksanaan puasa

Ramadan.

Resala Ramadan

Aplikasi ini merangkumi ilmu paling asas untuk menjalankan ibadat puasa pada Ramadan.

Tajuk aplikasi diterjemahkan kepada ‘Perkhabaran Ramadan’ dan ia dicipta untuk menyerlahkan kebaikan Ramadan sebagai topik utama, soal halal dan haram serta beberapa peraturan mengenai puasa yang tidak boleh dilepaskan.

Selain itu, aplikasi sama menyediakan huraian bagaimana Rasulullah bersahur dan berbuka puasa.

Menariknya, aplikasi ini disokong dengan hujah daripada sumber yang boleh dipercayai termasuk hadis dan buku tersohor.

Ia boleh didapati dalam bahasa Inggeris, Arab dan Indonesia.

Ramadan Diet

Berkemungkinan besar, ia aplikasi paling penting tahun ini apabila Ramadan Diet membantu anda terutama di Malaysia mengikuti program diet pada Ramadan ketika berpuasa.

Program diet bertujuan untuk membantu anda menurunkan berat badan atau mengekalkan berat badan anda sepanjang Ramadan.

Aplikasi ini juga mengandungi satu set latihan dan cadangan untuk mendapatkan badan yang patut dan baik.

Ia mempunyai pusat pemberitahuan yang tidak akan membenarkan anda untuk lupa makan atau masa latihan.

Slurp

Mahu mencari restoran untuk berbuka? Mungkin anda boleh mencuba aplikasi Slurp yang mencari lokasi restoran berdekatan dan memesan makanan

terlebih dulu.

Malah, ketika anda duduk di meja, hanya halakan kamera ke kod QR sebelum menu anda akan disediakan sejurus kemudian.

Ia dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan menghasilkan sistem ‘point of sale’ (POS) moden berasaskan perkomputeran ‘cloud’ sepenuhnya dinamakan Slurp.

Aplikasi terbabit juga membolehkan pelanggan melihat restoran berdaftar dengan Slurp yang berada di sekitar mereka.

Konsep baru ini juga tidak memerlukan pelayan yang ramai untuk mengambil pesanan dan pekerja restoran atau kafe boleh menumpukan usaha menyediakan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 3:34 PM