mutakhir

DBKL gempur penjaja warga asing

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menggempur penjaja warga asing yang masih berdegil meneruskan operasi mereka di kawasan luar Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap DBKL berkata, 14 pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL melakukan pemeriksaan di Jalan 1/2A berhampiran pintu keluar Pasar Borong Kuala Lumpur kira-kira 8 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati masih terdapat segelintir penjaja warga asing menjalankan operasi di bahagian luar pasar borong berkenaan.

"Susulan itu, kami mengambil tindakan sitaan terhadap barang jualan mereka membabitkan pelbagai jenis sayuran seperti bawang, tomato dan terung.

"Selain itu, kami turut merampas satu payung khemah yang digunakan penjaja warga asing beroperasi di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, tindakan sita akan terus dilaksanakan oleh DBKL terhadap operasi jualan penjaja warga asing di kawasan berkenaan.

"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan oleh DBKL akan diteruskan khususnya di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bagi memastikan aktiviti warga asing ini tidak berkembang semula," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 1:03pm
d