mutakhir

Pendekatan mesra alam penting dalam pemulihan pasca-Covid-19

Oleh Redzuan Muharam

MALAYSIA boleh mengambil pendekatan mesra alam atau 'laluan hijau' sebagai alternatif bagi pemulihan pasca-Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay dan Duta Besar Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto menyuarakan saranan itu sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, hari ini diikuti Hari Lautan Sedunia, 8 Jun depan.

Katanya, masyarakat perlu menyedari kepentingan itu dalam konteks global.

"Covid-19 menunjukkan bagaimana tindakan sesebuah negara boleh memberi impak besar terhadap negara lain. Ekonomi dan struktur masyarakat boleh terganggu oleh perkembangan eksogen yang berada di luar kawalan kita.

"Malah, dalam keadaan tergesa-gesa untuk memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi kesan Covid-19, kita berisiko kehilangan pengajaran dan peluang untuk menghadapi cabaran eksistensial yang lain. Perubahan Iklim, hasil pelepasan karbon daripada sistem sosio-ekonomi kita sekarang, sudah berlaku," katanya.

"Tindakan pantas dan tegas Malaysia dalam menguruskan wabak Covid-19 sangat mengagumkan. Justeru,pendekatan serupa diperlukan untuk menangani kecemasan iklim dan hidupan liar.

"Pelepasan karbon global turun dengan mendadak ketika masyarakat berkurung di rumah.

"Penutupan perniagaan dan kilang juga menjadikan udara di bandar bersih manakala hidupan liar muncul di tempat yang tidak dijangka.

"Kita semua mahu mengekalkan nikmat ini tetapi perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19 bukanlah jalan penyelesaian memandangkan berlakunya pengangguran besar-besaran dan pengurangan kualiti hidup," katanya.

Berdasarkan pengajaran susulan krisis ekonomi pada 2008, usaha pemulihan harus digabungkan dengan matlamat kemampanan jangka panjang.

Tiga kelebihan utama yang dikenal pasti selepas krisis 2008 harus digunakan supaya dapat memacu matlamat lebih tinggi dalam masa lebih pantas.

"Kelebihan pertama adalah penurunan mendadak kos tenaga boleh diperbaharui, dalam beberapa kes lebih murah daripada tenaga konvensional, walaupun harga minyak menurun sementara. Kita boleh memperluaskan penggunaan sumber itu melalui teknologi mantap yang berdaya maju secara komersial seterusnya menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi.

"Kedua, institusi pembangunan dunia kini lebih tertumpu kepada perubahan iklim. Bank pusat dan institusi kewangan menetapkan kedudukan yang lebih kuat terhadap tindakan terhadap iklim, termasuk Bank Negara Malaysia dan beberapa bank di Malaysia. Malaysia antara pemain sukuk hijau terbesar di rantau ini dalam dua tahun terakhir.

"Ketiga, satu nilai dunia bagi karbon hampir semakin hampir tercapai dan pemfaktoran nilai ini dalam projek baharu akan menjadi penting. Malaysia akan mendapat banyak manfaat dalam skema penghindaran pelepasan melalui mekanisme pasaran," katanya.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutnya, yang dikenali sebagai CoP26, akan menjadi medan paling sesuai bagi menunjukkan kemajuan secara nyata dalam menangani perubahan iklim.

CoP26 yang sepatutnya berlangsung tahun ini, terpaksa ditunda akibat Covid-19 dan dijangka berlangsung antara 1 hingga 12 November 2021 di Glasgow dengan tuan rumah United Kingdom dan kerjasama Itali.

"Covid-19 memberi tamparan hebat tetapi ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menikmati masa depan yang lebih selamat, sihat, berdaya tahan, lestari dan hijau," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:41pm
d