mutakhir

Masih siasat punca jangkitan satu keluarga di Bintulu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan berhubung tiga kes positif Covid-19 dilaporkan di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan mendapati kes itu membabitkan ahli keluarga.

"Sebaik kita mengesan kes positif, pengesanan kontak segera dilakukan di kalangan ahli keluarga.

"Siasatan lanjut masih diteruskan. Individu positif sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, KKM sedang mengenal pasti kontak rapat lain dan melaksanakan ujian saringan.

Setakat ini, katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, tiga lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak dengan kesemuanya dikesan di Bintulu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ketiga-tiga kes membabitkan satu keluarga yang mempunyai kontak rapat dengan seorang penuntut perempuan yang disahkan positif Covid-19, Ahad lalu.

Kesemua kes itu disahkan positif Covid-19 hasil saringan dan pengesanan kontak kepada kes ke-557 di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 7:12pm
    d