mutakhir

15,000 anak ayam rentung, reban ayam terbakar

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEBANYAK 15,000 ekor anak ayam rentung selepas satu deretan reban ayam musnah dalam kebakaran di sebuah ladang ayam di Kampung Banggol, Sidam Kiri, Sungai Petani, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.55 petang tadi.

Katanya, seramai 15 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Aman Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan satu deretan reban ayam kelas C berkeluasan lebih 222 meter persegi sedang marak terbakar.

"Kemusnahan hampir 100 peratus termasuk 15,000 ekor anak ayam turut rentung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anak ayam terbabit difahamkan baharu saja dibawa masuk ke ladang berkenaan, pagi tadi.

"Kebakaran dapat dikawal pada 6.20 petang. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 8:18pm
d