utama

Bukit Broga ditutup

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BUKIT Broga di Semenyih, Selangor ditutup selama dua minggu daripada sebarang aktiviti pendakian susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mulai 27 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Yusri Zakariah berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor hari ini bersetuju menutup kawasan rekreasi berkenaan.

"Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor akan mengeluarkan arahan penutupan Bukit Broga mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7)2020.

"Agensi-agensi berkaitan juga diminta membuat hebahan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 Jun lalu, kawasan rekreasi berkenaan dilaporkan 'sesak' pada hujung minggu lalu selepas dikunjungi individu yang ingin berekreasi di kawasan berkenaan.

Bukit Broga yang berada di bawah seliaan MPKJ itu tidak menempatkan pegawai secara khusus di kawasan berkenaan memandangkan kawalan ke laluan masuk dilakukan pemilik tanah serta pengendali parkir.

Berita berkaitan:

  • Bukit Broga 'sesak'
  • Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 11:12pm
    d