mutakhir

Mayat lelaki dalam parit

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MAYAT lelaki warga Thailand yang turut menghidap penyakit sawan ditemui dalam parit di Kampung Bukit Kuching, Jeram, di Kuala Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat itu ditemui orang awam jam 12.45 tengah hari bersama sebuah motosikal Honda EX5 berwarna hitam.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 18 tahun adalah pekerja di sebuah restoran di Kampung Bukit Kuching, Jeram.

"Hasil temubual bersama waris memaklumkan mangsa beberapa kali mengalami sawan semasa bekerja. "Mangsa keluar dari restoran menaiki motosikal selepas selesai bekerja pada malam kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ramli, mayat mangsa diangkat dari parit dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 9:08am
d