global

Pekerja pembinaan stadium Piala Dunia positif Covid-19

Oleh AFP

Doha: Seorang pekerja tapak pembinaan venue Piala Dunia 2022 meninggal dunia akibat Covid-19.

Sumber yang rapat dengan penganjur acara berkenaan memaklumkan AFP bahawa terdapat 1,102 kes Covid-19 disahkan di kalangan pekerja pembinaan dengan 121 jangkitan masih aktif.

Kes pertama yang dilaporkan membabitkan seorang jurutera berusia 51 tahun dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Sehingga kini, Qatar menjadi antara negara dengan kadar jangkitan per kapita tertinggi di dunia iaitu 3.3 peratus daripada 2.75 juta populasi disahkan positif.

Kebanyakannya sudah pulih sepenuhnya dengan 17,591 kes aktif dilaporkan termasuk 104 kematian.

"Dukacita dimaklumkan pada 11 Jun lalu, seorang jurutera berusia 51 tahun yang bekerja dengan kontraktor Conspel, meninggal dunia akibat Covid-19.

"Beliau bekerja dalam jawatankuasa tertinggi untuk projek ini sejak Oktober 2019 dan tiada masalah kesihatan. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya," kata pertubuhan Qatar yang bertanggungjawab menganjurkan acara berkenaan.

Bagaimanapun, kewarganegaraannya tidak didedahkan.

Penganjur melaporkan lima kes jangkitan pada 15 April lalu dengan lima kes membabitkan tiga projek pembinaan stadium baharu.

Kerja pembinaan masih diteruskan namun kadar jangkitan dilihat semakin perlahan kerana pelaksanaan langkah pencegahan termasuk penjarakan sosial.

Pekerja berisiko tinggi tidak dibenarkan hadir ke tapak pembinaan dengan bayaran gaji penuh selain pengambilan suhu dua kali sehari dilakukan kepada pekerja di tapak projek.

Tarikh bagi acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada November dan Disember 2022 masih dikekalkan.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 6:11pm
d