ZULKHAIRI menyuntik seekor lembu piliharaannya.
ANTARA kambing peliharaan Zulkhairi.
ZULKHAIRI menunjukkan seekor lembu diternak
Oleh Saiful Iskandar Ismail
rencana@mediaprima.com.my

Kerjaya profesional yang dimiliki sebagai arkitek tidak menghalang Zulkhairi Md Zain, 47, menceburi bidang pertanian khususnya ternakan lembu dan kambing.

Menerusi syarikatnya, Jelapang Warisan Sdn Bhd dan Sg Buloh Farm yang bertapak di Kampung Melayu Sungai Buloh, Selangor, anak kelahiran Kedah itu membuktikan kebenaran pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan.

Berlatar belakang pendidikan tinggi dalam bidang seni bina dari Universiti Texas di Amerika Syarikat, Zulkhairi membina kerjayanya sebagai arkitek mulai 1993 hingga 1999.

Kegawatan ekonomi memaksa beliau menceburi bidang pertanian bermula dengan kerja landskap mulai 1999 sebelum diperluaskan kepada bidang penternakan lembu dan kambing mulai 2004.

Selepas 11 tahun bertungkus-lumus, beliau kini boleh berbangga dengan pencapaian peribadi apabila syarikatnya menjadi antara pembekal kambing, lembu, rusa, bebiri dan kerbau utama untuk ibadat akikah dan korban setiap tahun.

Kejayaan Zulkhairi sebagai arkitek, penternak dan pereka landskap, membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemenang Penternak Jaya Ruminan Selangor 2007 dan pemenang kategori Pengeluar Produk Landskap Pelbagai Pertandingan Nurseri Terbaik sempena Hari Landskap Negara 2007.

Pengalaman ketika belajar sambil melihat kehidupan penternak lembu di Texas yang mengutamakan kualiti pada ternakan diusahakan mendorong Zulkhairi mempraktikkan amalan sama dalam membangunkan syarikat ternakannya.

“Ketika di Texas, saya pasti mengunjungi pesta ternakan Dallas yang diadakan dua kali setahun untuk melihat penternak di sana bersaing menampilkan lembu terbaik masing-masing daripada baka Charolaise, Texas Longhorn, Simantel dan Limousine.

“Ketika awal menternak dulu, saya memberi perhatian kepada jumlah ternakan yang dikeluarkan, tetapi sejak empat tahun kebelakangan ini, usaha mula terarah kepada langkah me­nyesuaikan jumlah ternakan dengan keluasan kawasan terhad.

“Berikutan itu, saya memberi perhatian kepada kaedah Permanian Beradas (AI) dalam usaha memperoleh anak lembu berkualiti dan mampu menghasilkan daging lebih banyak berbanding baka tempatan,” katanya.

Zulkhairi berkata, menerusi pendekatan itu, ladangnya kini mempunyai lebih 30 lembu daripada baka Charolaise dari Perancis hasil pembiakan menggunakan kaedah AI berusia satu minggu hingga tiga tahun yang sebahagiannya bakal dijual menjelang sambutan Aidiladha tahun ini.

“Saya berhasrat menjadikan ladang ini sebagai pembekal utama lembu baka Charolaise. Sebelum ini, proses AI untuk baka ladang ini dilakukan di Terengganu, tetapi kini kami mempunyai keupayaan melakukannya di sini hasil bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor yang banyak memberi sokongan.

“Baka tempatan hanya mampu mencapai berat maksimum 300 kilogram, tetapi kacukan baka Charolaise mampu meningkat lebih 1,000 kilogram (kg) ketika dijual pada usia dua tahun. Kadang-kadang penjualannya tidak lagi berasaskan berat, sebaliknya berdasarkan kualiti daging yang dianggap premium,” katanya.

Secara purata, lembu yang diperoleh hasil pembiakan kaedah AI mampu dijual pada harga antara RM10,000 hingga RM14,000 seekor dengan berat antara 800 hingga 1,400kg berbanding baka tempatan antara RM1,500 hingga RM3,000 seekor.

Beliau membuktikan penternakan lembu daripada baka yang diperoleh menerusi kaedah AI tidak memerlukan jumlah yang banyak kerana hasil jualan seekor lembu baka import mampu menyamai tiga atau empat lembu tempatan.

Di ladang miliknya, Zulkhairi turut menanam rumput Napier yang dituai setiap 45 hari bagi memenuhi keperluan makanan lembu dan kambing miliknya kerana seekor lembu baka Charolaise berusia kira-kira dua tahun memerlukan makanan sehingga 40kg sehari membabitkan campuran rumput dan pelet.

Beliau menyasarkan menjual sehingga 100 lembu menjelang sambutan Aidiladha tahun ini membabitkan sebahagian ternakannya bersama bekalan yang diimport atau diraih.

Pada masa sama, ladangnya mempunyai bekalan 200 kambing daripada baka boer, togendurg dan saanen sementara biri-biri pula daripada baka dorper, damara, barbados dan dorsett yang sedia untuk dipasarkan. Secara purata, ladang itu memasarkan hingga 1,200 kambing setahun.

Orang ramai yang mahu mendapatkan bekalan lembu dan kambing boleh mengunjungi ladang milik syarikat itu di Lot 115-F, Kampung Melayu Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:46 AM