rap

'Buang duit je buat lagu, stesen radio pun buat tak tau saja' - Nora

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Nora Ariffin menganggap satu pembaziran jika dia muncul dengan single baharu ketika ini disebabkan sikap segelintir stesen radio yang tidak memainkan lagu baharu daripada penyanyi lama sepertinya.

Nora berkata, perkara itu sangat menyedihkan dan tidak sihat dalam industri muzik tempatan.

"Lagu baharu sendiri belum lagi. Memang ada hasrat nak buat dan pernah bincang dengan komposer, tapi sebenarnya buang duit saja. Kalau ada sekarang pun, siapa nak main? Macam buang duit saja, jadi biarlah dulu.

"Kita pun bukan banyak duit. Duit yang ada boleh buat benda lain. Bagi saya tak mengapa, tapi sedih keadaan itu, tak sihat. Ada beberapa rakan penyanyi keluar lagu baharu, tapi mana lagu-lagu mereka di stesen radio? Kata nak sangat lagu baharu, tapi bila ada tak main pun. Jadi macam sedih.

"Kebetulan kelmarin tengok status pemain gitar Aznan di Facebook yang dia sudah malas nak dengar radio. Katanya sekarang terbalik, kita pula kena dengar selera mereka. Sepatutnya sebagai penyanyi, orang ikut apa kita buat. Sekarang terbalik yang mana orang seni kena ikut selera yang mereka sajikan. Jadi saya macam, okaylah, tak nak," katanya.

Nora yang ditemui pada sidang media usaha sama Mega Event Catering dan Nora Ariffin hari ini berkata, kali terakhir dia muncul dengan single baharu pada 2018 menerusi lagu Ada Dalam Tiada.

Menurut Nora, jika ada perancangan sekali pun lagu itu bukan lagi lagu sedih.

"Kalau saya nak keluar pun, bukan lagu sedih-sedih. Letih dah. Saya nak lebih kepada aura positif. Saya kena gembirakan diri. Kalau tak gembira sedihkan?," katanya.

Diusik sama ada faktor lain iaitu soal pasangan yang menggembirakannya kini, Nora pantas menafikan.

"Tak ada faktor lain yang menggembirakan diri. Tidak ada. Mungkin banyak kerja," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 3:57pm
d