mutakhir

96 dikuarantin di AKEPT tidak boleh dilawati

Oleh Rafidah Mat Ruzki

TIADA pihak termasuk ahli keluarga dibenarkan melawat 96 rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin wajib di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka ditempatkan di situ selepas mengambil kira faktor risiko jangkitan.

"Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, rakyat Malaysia itu sebelum ini terkandas di India, tiba dengan pesawat Malindo Air yang sama pada jam 6.31 pagi tadi.

Sementara itu, Ismail berkata, seramai 707 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

Beliau berkata, seramai 706 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang dibawa ke hospital.

Katanya, dari 10 Jun sehingga 17 Julai 2020, KKM sudah menjalankan saringan terhadap seramai 20,080 individu di pintu masuk KLIA dan seramai 20,004 individu didapati negatif Covid-19 serta sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Seramai 76 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Semalam, PDRM membuat 1,168 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 2:46pm
d