utama

Nikah sempadan

Oleh Agensi

STOCKHOLM: Demi cinta, sepasang kekasih berlainan negara meneruskan hasrat berkahwin meskipun terhalang kerana perintah kawalan bagi mengekang penularan Covid-19.

BBC melaporkan perkahwinan itu membabitkan pengantin wanita dari Norway dan pasangannya dari Sweden.

Mereka berbuat demikian memandangkan penduduk Norway belum dibenarkan memasuki Sweden meskipun Sweden melonggarkan perintah kawalan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Bagi tujuan itu, pasangan terbabit memutuskan mengadakan majlis perkahwinan dalam hutan di Holebekk, tenggara Norway, yang bersempadan Sweden.

Pengantin berada di dalam kawasan negara masing-masing dan hanya dipisahkan reben putih yang menjadi penanda garis sempadan.

Pada upacara itu, kedua-duanya bertukar ikrar di hadapan paderi sambil disaksikan pengapit pengantin lelaki dan perempuan.

Menariknya, majlis ringkas itu turut dihadiri tetamu kedua-dua pihak.

Pengantin perempuan, Camilla Oyjord berkata, awalnya, mereka secara suka-suka mencadangkan idea berkenaan kepada rakan dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, ia mendapat maklum balas positif.

"Kami hanya mahu bergelar suami isteri. Anda boleh menakluki semuanya dengan cinta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 6:30am
    d