mutakhir

Pembukaan Masjid Razaleigh pada Aidiladha ini ditangguh

Oleh Ramli Ibrahim

MASJID Razaleigh yang dikunjungi orang ramai kerana seni pembinaannya yang menyerupai Masjidil Haram di Makkah hanya akan dibuka apabila penularan Covid-19 tamat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, masjid bernilai RM32 juta itu sudah siap dibina tetapi kegunaan terpaksa ditangguhkan

Beliau berkata, masjid itu jika dibuka ketika ini merugikan jemaah berikutan banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi kerana Covid-19.

Katanya, setiap pengunjung masjid yang baru dibuka pasti ingin merasai nikmat keselesaan sama ada untuk solat lima waktu dan solat Jumaat.

"Tetapi, kalau ada banyak sangat SOP pencegahan Covid-19, baik kita tangguh sehingga keadaan pulih," katanya selepas meninjau persiapan terakhir Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusof dan Adun Paloh, Amran Ariffin.

Tengku Razaleigh berkata, memang pada asalnya, beliau bercadang masjid itu dibuka untuk solat Aidiladha minggu depan.

Bagaimanapun, menurutnya, ditangguhkan dulu sehingga ancaman Covid-19 berakhir.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 11:44am
    d