mutakhir

Warga emas ceria sambut rombongan TKHM

Oleh Nor Farhani Che Ad

PASANGAN warga emas ceria menerima kunjungan Harian Metro bersama Affin Islamic Bank Berhad sempena program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) 2020 di Sik, hari ini.

Md Piah Ali, 85, yang tidak mampu berjalan manakala isterinya, Saadiah Ismail 82, yang kelihatan sedikit uzur, ramah menyambut kedatangan ahli rombongan yang tiba di kediaman mereka di Kampung Padang Pulut, Jeneri.

Md Piah adalah seorang daripada 159 penerima bantuan 'Kotak Rezeki' yang mengandungi barangan keperluan serta wang tunai pada program itu.

Katanya, dia terharu apabila ada pihak sudi menziarahi dia dan isteri malah mengubat kesunyian mereka yang hanya tinggal berdua saja di rumah berkenaan.

"Anak dan cucu ada datang ke rumah, tapi rasa sunyi itu ada, dulu saya boleh keluar bawa isteri ziarah ahli keluarga dan kawan-kawan, namun sejak kemalangan lima tahun lalu, saya sudah tidak mampu berjalan.

"Kesihatan isteri juga semakin merosot, jadi kami berdua hanya berada di rumah saja, ada masanya saya naik kerusi roda ambil angin sekitar kampung saja," katanya.

Dalam pada itu, Md Piah bersyukur menerima bantuan yang diberikan dan disifatkan sebagai rahmat buat mereka suami isteri.

Katanya, selain dibantu anak-anak, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah skim Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 sebulan.

"Saya sudah tidak mampu bekerja lagi, jadi keperluan harian saya beli menggunakan bantuan wang JKM, anak-anak ada bantu, tapi kebanyakan mereka pun hanya bekerja kampung dan mempunyai tanggungan masing-masing.

"Jadi, bantuan yang diberikan sangat berharga buat kami berdua dan wang sumbangan saya akan simpan untuk keperluan kecemasan kami berdua nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 5:20pm
d