rap

Hargai khazanah tradisional

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

NAMA kumpulan Salammusik bukan calang-calang dalam kalangan peminat muzik reggae tempatan.

Salammusik yang tersenarai antara kumpulan yang banyak meraih anugerah kini meraikan ulang tahun pertama penghasilan album fizikal mereka berjudul Riwayat.

Album Riwayat mengambil masa hampir empat tahun untuk disiapkan selepas kali terakhir mereka menghasilkan album pada 2012.

Selari dengan ini, Salammusik tampil dengan lagu terbaharu berjudul Menyemai Kemungkinan yang boleh dinikmati menerusi platform digital terpilih.

Salammusik yang terkenal dengan lagu seperti Aku Pelat, Bangkit dan pelbagai lagu lain sentiasa mengangkat dan menyemarakkan elemen dan irama tradisional Malaysia dalam karya mereka.

Penyanyinya, Ashraf Salam, 31, berkata, mereka tidak pernah mengetepikan elemen tradisional dalam lagu mereka.

"Kami sentiasa menghargai elemen muzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengetengahkan elemen ini untuk dikongsi bersama generasi muda dan pada masa sama masih disulami dengan rentak moden supaya kekal relevan", katanya.

Menurutnya, lagu Menyemai Kemungkinan adalah sebahagian dari album Riwayat yang diilhamkan oleh sejarah Malaysia.

"Ia mengandungi karya seni, puisi, terjemahan, transkripsi dan kord lagu. Menyemai Kemungkinan sudah dijadikan lagu tema bagi filem aksi seni mempertahankan diri berjudul Geran dan mulai sekarang, peminat boleh melayari lagu versi asalnya serta versi Newsantara Remix by YYY Hertz di semua platform digital seperti i-Tunes, Spotify dan pelbagai lagi. Ia adalah tahun yang memberangsangkan untuk kami," katanya yang juga penerbit album Salammusik.

Ashraf berkata, selepas pelancaran album Riwayat, Salammusik mulai sibuk dengan aktiviti jerayawara di seluruh negara dengan persembahan di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh.

"Kami sangat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima menerusi peminat dan penyokong muzik kami dari Malaysia. Di samping itu juga, kami amat teruja dengan undangan untuk melakukan persembahan di festival utama di Eropah khususnya," katanya.

Salammusik beruntung kerana Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa menyokong inisiatif murni mereka dalam memartabatkan elemen muzik tradisional dalam penghasilan naskhah mereka dan ini membawa kepada pengiktirafan dan surat penghargaan yang dizahirkan oleh kerajaan.

"Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila usaha kreatif kami mendapat perhatian pemimpin negara ini. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong usaha kami sejak awal," katanya.

Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang, Salammusik terpaksa membatalkan jelajah Eropah yang dijadualkan tahun ini biarpun sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam sembilan festival utama di sana.

Keputusan ini diambil memandangkan pembatalan serta penundaan acara dan festival muzik di seluruh dunia disebabkan pandemik itu.

Namun, kebanyakan festival ini sudah pun menjadualkan semula pembabitan Salammusik ke tahun hadapan.

"Kami menggalakkan pemuzik tempatan untuk berani dalam menerokai kerjasama di peringkat antarabangsa kerana banyak pengalaman dan ilmu baharu yang boleh ditimba. Dunia sedang berevolusi, saling memberi ilham dan kita juga tidak harus ketinggalan," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:15am
d