WM

Serlah gaya ke pejabat

Oleh Hafiz Ithnin

SARANAN Perunding Fesyen, Faizal Hamid ini tentunya banyak membantu anda kembali menyerlah dengan hanya satu busana ke pejabat jika perlu dipakai dari pagi hingga malam kerana ada segelintir yang terpaksa bekerja sehingga matahari terbenam!

Faizal berkata, kini terdapat gaun pelbagai variasi warna dan mewah dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik.

Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun yang penuh kilauan labuci dan kristal.

Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas.

Katanya, gaun syif yang berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik.

Pasti menyerlahkan anda dan memikat sesiapa yang memandang.

"Blaus sama ada potongan longgar dan besar atau yang sama padan dengan bentuk badan hasil dari potongan dan jahitan yang rapi dan kemas, antara gaya rekaan penting dan menarik sealiran trend.

"Pelbagai variasi potongan antaranya gaya desa (peasant) dengan lengan besar, lengan puffed, manakala kemeja oxford pula dipotong besar dari kebiasaan. Kini antara yang paling menyerlah adalah gaya maskulin atau wanita," katanya.

Jelasnya, reka corak flora yang ringkas adalah antara pilihan tepat untuk gaya pagi hingga malam. Sememangnya reka corak ini cukup kontemporari, segar, feminin dan romantik serta sesuai digayakan semua wanita.

"Rekaan seluar potongan lebar dengan perincian menarik dapat memberikan penumpuan pada bahagian bawah pinggang. Anda boleh bereksperimen dengan lipatan, tetapi elakkan lipatan yang lebar jika anda agak rendah ketinggian. Pilihan fabrik satin perlu dielakkan jika anda tidak berani bereksperimentasi.

"Skirt kembang punyai kuasa untuk memberikan ilusi bentuk yang lebih menarik. Ia cukup menarik dalam rekaan yang berbagai. Malah, boleh menyembunyikan paha yang besar dan punggung lebar. Paling penting anda perlu bijak memilih rekaan sesuai dengan bentuk tubuh," katanya.

Faizal berkata, memadankan seluar yang mempunyai aura maskulin dengan blaus feminin juga boleh dipilih untuk ke pejabat.

"Antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan colar peter pan dan lengan gelembung.

"Untuk lebih gaya, padankan seluar rona terang dengan blaus bercorak. Anda boleh bereksperimentasi dengan kombinasi warna, tetapi jangan keterlaluan kerana takut nampak pelik," katanya.

Bagi yang gemarkan fabrik satin, untuk lebih anggun, elakkan aksesori berlebihan.

Istimewanya satin ia tidak perlu aksesori berlebihan.

"Ia tampak indah digayakan siang hingga malam. Untuk lebih menyerlah keanggunannya pilih satin rona permata. Perlu diingat rekaan perlu sederhana untuk lebih menyerlah.

"Antara panduan untuk kelihatan hebat pada hari penting adalah dengan membuat sedikit perubahan pada penampilan anda. Pakai sesuatu yang selalunya anda tidak biasa pakai contohnya seperti tali pinggang atau aksesori unik atau baru," katanya.

Tambahnya, jika bereksperimentasi memilih rona terang dan neon trend era 80-an yang kembali popular juga sesuai.

"Padanan warna hitam masih boleh digunakan sebagai pelengkap gaya seperti tali pinggang, pumps ataupun sandal bertumit tinggi.

"Sememangnya warna terang popular di pentas peragaan antarabangsa dan ia cukup sesuai untuk siang dan malam," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:30am
d