santai

Percutian suasana kampung

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MASIH tercari-cari aktiviti yang sesuai untuk percutian keluarga selepas hampir empat bulan tidak ke mana-mana?

Tentunya keunikan yang anda cari dan pengalaman baharu dinikmati sebaik berada di Min House Camp di Kubang Kerian, Kelantan.

Di sini anda seolah-olah berada dalam suasana perkampungan dan alam semula jadi.

Dari Kota Bharu, perjalanan hanya mengambil masa 30 minit sebelum anda perlu melalui jalan kampung untuk sampai ke lokasi ini.

Sebaik tiba di sini, anda jangan terkejut apabila ada banyak lebah kelulut yang berterbangan di kawasan sekitar.

Apa tidaknya ada lebih 100 sarang kelulut sebagai antara tarikan di sini.

Pengunjung tidak perlu bimbang kerana lebah itu tidak membahayakan.

Pengarahnya, Nur Muhammad Muhamad Zanini berkata, Min House Camp yang diusahakan sejak 2010 oleh ibu dan ayahnya, Muhamad Zanini Mahamood serta Wan Noriah Wan Ramli bukan berlandaskan perniagaan semata-mata namun memberi fokus kepada pembelajaran.

Katanya, konsep ekopelancongan itu menarik minat ramai pelancong di luar negara terutama dari Eropah yang ingin merasai pengalaman menginap di sini.

"Di sini ada lapan aktiviti utama yang boleh dijalankan termasuk berpeluang menelusuri keindahan flora dan fauna di sekitar Sungai Lubok Durian dengan berkayak.

"Selain itu, sungai di sini agak cetek dan mereka boleh mencari lokan di kawasan sekitar untuk terus dimasak," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, selain itu, terdapat aktiviti memanah dan berkebun secara organik serta hidroponik.

"Di sini kami akan ajar bagaimana untuk berkebun mengikut peringkat umur daripada lima tahun sehingga warna emas dengan harga sangat berpatutan. Pelawat juga boleh masuk dalam reban ayam dan itik yang luas.

"Tarikan lain adalah kami yang pertama di Malaysia membuat kursus serta memiliki galeri khas mengenai lebah kelulut. Malah, di sini ada lebih 100 sarang lebah kelulut," katanya.

Tambahnya, pengunjung juga terutama kanak-kanak diajar menghasilkan sendiri permainan yoyo menggunakan biji beluru.

"Kami juga mengadakan kelas memasak kuih onde-onde menggunakan teknik tradisional untuk dibawa pulang.

"Pada sebelah malam, pengunjung dibawa melihat kelip-kelip di kawasan sekitar. Uniknya kelip-kelip di sini sama seperti di Kuala Selangor," katanya.

Katanya, di sini banyak kemudahan disediakan termasuk dewan tertutup, dewan terbuka, tapak perkhemahan, dorm dan rumah penginapan yang dilengkapi pendingin hawa.

"Pada hari biasa, pengunjung boleh terus datang mendaftar namun pada hari minggu, mereka dinasihatkan membuat tempahan awal.

"Kami juga menyediakan aktiviti kepada orang kurang upaya (OKU) yang berkunjung ke sini," katanya.

Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pihaknya memperkenalkan pengalaman melancong secara maya menerusi aplikasi Zoom.

"Dengan bayaran RM30 untuk satu sesi selama satu jam, peserta dibawa sambil diberi penerangan secara langsung mengenai pelbagai aktiviti yang dijalankan di sini seperti mencari lokan dan kunjungan ke galeri lebah kelulut," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 6:30am
d