mutakhir

Maahad terbakar dapat sumbangan awal RM50,000 [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KERAJAAN Perak menyumbang RM50,000 kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota, yang tiga bangunannya terbakar dalam kejadian tengah malam, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sumbangan awal itu untuk membantu maahad berkenaan membaiki kerosakan.

"Maahad ini mempunyai 160 pelajar, namun ketika ini hanya ada 115 orang bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) (memulihkan Covid-19) yang ditetapkan. Saya difahamkan kebakaran turut menjejaskan bilik tidur guru.

"Sumbangan awal ini untuk mereka memulakan kerja membaik pulih bangunan terjejas dan saya difahamkan tabung bantuan juga sudah dilancarkan," katanya ditemui selepas melawat maahad berkenaan yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Akmal berkata, maahad itu berdaftar dengan JAIPk dan anak angkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sudah menerima latihan kebakaran dari semasa ke semasa.

"Inilah pentingnya tahfiz berdaftar dengan JAIPk supaya agensi berkaitan seperti bomba boleh memantau untuk kebaikan semua termasuk penubuhan skuad bomba di setiap tahfiz.

"Justeru, mana-mana maahad tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang belum berdaftar boleh memberikan kerjasama dengan JAIPk," katanya.

Dalam kejadian itu, bangunan dua tingkat maahad itu terbakar 80 peratus dan blok kedua yang menempatkan dewan terbakar 10 peratus di bumbung, manakala bilik kuliah tiga tingkat pula terjejas lima peratus.

Berita berkaitan:

  • Maahad Tahfiz terbakar, 115 pelajar selamat [METROTV]
  • Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 2:36pm
    d