mutakhir

Maut langgar penghadang jalan

Oleh Zaid Salim

LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 43 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat Kampung Sungai Tong, Setiu.

Kejadian berlaku pada 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu ke arah Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, akibat kejadian itu, mangsa, Mohamad Amir Aizat Zahari, 22, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di kawasan berkenaan.

"Kejadian berlaku di kawasan selekoh dan ketika kejadian, keadaan jalan dipercayai licin berikutan baru lepas hujan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 3:53pm
d