rap

Naluri guru bahasa Inggeris Adibah tak hilang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TINDAKAN penyanyi dan pelakon, Adibah Noor memuat naik video di Twitter bagi membetulkan sebutan bahasa Inggeris penyampai radio saluran bahasa Inggeris semalam, mendapat reaksi positif pengguna laman sosial itu.

Malah, Adibah juga pernah beberapa kali mengambil pendekatan sama dengan menegur kesilapan sebutan yang dibuat segelintir pihak termasuk dalam kalangan selebriti.

Adibah dihubungi berkata, perkara itu adalah semula jadi daripada dirinya, memandangkan dia mempunyai latar belakang sebagai bekas guru bahasa Inggeris.

"Sebenarnya, saya buat video itu suka-suka. Mungkin disebabkan latar belakang sebagai guru bahasa Inggeris itu, saya secara semula jadi suka nak betulkan apa yang saya rasa salah. Mana saya tahu, saya betulkan.

"Saya tidak mahu menghasilkan video yang terlalu mengajar sangat, sebab sudah ada ramai cikgu bahasa Inggeris di media sosial, jadi pendekatan saya hanya santai saja.

"Lagi pula perkara yang saya dengar dan kesalahan lazim selalu orang buat, yang mungkin tak tahu sebutan betul atau susunan ayat betul, perkara kecil macam itu saya guna untuk betulkan. Tapi, tak naklah pula sampai digelar 'grammar nazi' dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adibah yang juga pengacara, dia terpanggil untuk membuat perkara itu untuk membetulkan kesalahan biasa dan membiasakan yang betul.

"Memang naluri saya sebagai guru kuat. Kiranya saya terpanggil nak betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Banyak maklum balas daripada pengikut terkeliru dengan perkara yang 'simple'.

"Ada pula yang cakap, apabila dia cakap sebutan yang betul ada pula yang gelak. Jadi, kita cuba sedikit sebanyak mengajak orang untuk tidak takut membetulkan sesuatu yang sudah dibiasakan," katanya.

Menerusi video itu, Adibah membetulkan dua sebutan iaitu 'debt' (hutang) dan 'doubt' (sangsi).

Video berdurasi 51 saat itu sudah mencecah lebih 103,000 tontonan, lebih 5,000 ulang ciap dan komen serta lebih 6,000 tanda suka.

Selain pengikut Adibah di Twitter, video itu turut mendapat perhatian beberapa rakan artis.

 

 

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 1:47pm
d