mutakhir

Apa kau nak buat dengan senapang tu?

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SENGAJA sembunyikan selaras senapang patah milik bapa di dalam kebun getah atas niat tertentu.

Itu tindakan seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa mengambil kesempatan selepas bapanya terbabit kemalangan di Jalan Bahau - Rompin pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, senapang berkenaan diambil suspek sejurus bapanya terbabit kemalangan.

Menurutnya, senapang patah model Sellier & Bellot 12 itu dimiliki bapa suspek yang turut memiliki lesen senjata api yang sah.

"Siasatan polis mendapati bapa suspek mengambil senapang itu dari dalam kenderaan dan menyembunyikannya di dalam semak berhampiran.

"Dia kemudian bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan itu," katanya tadi.

Mohd Khairiel berkata, bagaimana suspek yang mengetahui senapang itu disembunyikan bapanya bertindak mengambil senapang itu dan menyembunyikan di lokasi lain.

"Berikutan bimbang senjata api berkenaan disalahguna anaknya, mangsa membuat laporan polis selepas suspek enggan memulangkan semula senapang berkenaan.

"Berikutan itu, polis menahan suspek di sebuah kilang di Bahau di Negeri Sembilan pada jam 5.45 petang kelmarin sebelum suspek menunjukkan lokasi senapang itu disembunyikan di sebuah kebun getah.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut. Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960,"katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 6:19pm
d