akademia

3 bulan di New Zealand

Oleh Suliati Asri

NORMA dalam kehidupan setiap mahasiswa untuk menamatkan pengajian tepat pada waktunya tanpa sebarang masalah dan menghadiri konvokesyen bersama rakan-rakan.

Namun, berbeza dengan lima pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini, mereka memilih untuk menangguhkan setahun pengajian bagi memberi fokus kepada pembabitan dalam program berasaskan kesukarelawan menerusi program Gap Year Volunteerism 3.0.

Lima pelajar itu adalah Mohd Nazrin Azmi, Muhammad Aminuddin Adnan dan Najwa Sahidin dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Ahmad Abd Wahab serta Nur Kamalia Suriya Mohd Kamal dari Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah (FPQS).

Program Gap Year Volunteerism 3.0 yang memasuki tahun ketiga dianjurkan Usim bertujuan mendedahkan penuntut dengan situasi sebenar bagaimana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beroperasi di samping memberikan bimbingan dan mengasah kemahiran insaniah mereka.

Bagi program Gap Year Volunteerism 3.0 ini, Usim menjalinkan kerjasama dengan MyFundAction iaitu salah satu NGO yang berpusat di Malaysia dan sudah beroperasi selama 6 tahun.

MyFundAction turut mempunyai lima cawangan di luar negara iaitu di New Zealand, Mesir, Jepun, Malaysia dan Indonesia. Selain daripada itu, program ini juga turut memberi peluang kepada pelajar pengalaman bekerja selama setahun sekali gus memaksa mereka menangguhkan pengajian.

Peserta program yang juga penuntut tahun akhir FKP Mohd Nazrin berkata, pada awalnya di merasa rugi untuk menyertai program ini berikutan perlu menangguh pengajian selain tidak dapat menghadiri konvokesyen kelak bersama rakan-rakan.

Namun, selepas memikirkan pengalaman dan ilmu yang akan diperoleh sepanjang program itu, dia reda dan memberikan komitmen 100 peratus.

"Saya berpendapat, menerusi program ini, saya akan memperoleh banyak pengalaman selain dapat mempraktikKan segala ilmu yang dipelajari di kampus seperti latihan industri.

"Selain itu, dengan program ini juga, saya mempunyai kelebihan terutama pengalaman kerja bukan saja di Malaysia tetapi di luar negara sekali gus menguatkan lagi maklumat ringkas peribadi

resume apabila mula mencari pekerjaan kelak berbanding rakan lain," katanya.

Gap Year Volunteerism 3.0 ini bermula sejak Oktober 2019 dan sudah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kesukarelawanan yang membabitkan kerjasama MyFundAction.

Antara program yang sudah dilaksanakan adalah Rezqi Jumaat (RJ), Feed The Homeless (FTH), Asnaf First Class, Action For Disaster dalam Misi Bantuan Banjir di Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan banyak lagi.

Berbicara mengenai program ini, kata Mohd Nazrin pengalaman yang paling bermakna buat mereka berlima adalah ketika menjalani program kesukarelawanan di New Zealand selama tiga bulan dengan kerjasama MyFundAction cawangan New Zealand pada Februari lalu.

Menurutnya, menerusi aktiviti dan projek itu, ia menuntut peserta untuk banyak berinteraksi dengan masyarakat tempatan New Zealand.

"Di sana, antara program yang dijalankan ialah projek Togetherness Tour Kotahitanga dengan kerjasama NGO Islam tempatan iaitu Voice of Islam dan Akademi Penyelidikan dan Pendidikan Islam (iERA).

"Kami juga melaksanakan program Christchurch Memorial Day yang mana pada hari itu, ramai masyarakat tempatan hadir ke Masjid Al-Noor Christchurch untuk menzahirkan rasa kesedihan atas kejadian tragedi tembakan rambang yang berlaku ke atas orang Islam di sana pada Mac 2019," katanya.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19, program yang dirancang sejak awal tidak dapat dijalankan dengan sebaiknya kerana rakyatnya juga perlu melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, PKP itu tidak menjejaskan pergerakan sebaliknya mereka lebih pantas mengambil peluang dan mengubah perancangan asal untuk memberikan bantuan makanan serta bekalan asas mingguan kepada masyarakat yang terjejas terutama rakyat Malaysia dan masyarakat tempatan.

Walaupun, program ini memerlukan penuntut untuk menangguhkan pengajian mereka selama setahun dan lewat bergraduasi, namun dalam tempoh setahun pelaksanaan itu, mereka didedahkan dengan dunia industri dan pekerjaan sebenar yang akan dilalui selepas tamat pengajian nanti.

Program seperti ini dapat memberikan peluang kepada penuntut mendapat gambaran awal sebelum memulakan dunia pekerjaan sebenar.

Menariknya, mereka sudah ditemu duga MyFundAction untuk meneruskan pekerjaan sejurus selesai program Gap Year Volunteerism 3.0 dan menyempurnakan pengajian semester akhir di Usim.

Bagi Ahmad, program ini memberikannya peluang melihat sendiri kehidupan dan penerimaan masyarakat luar.

"Menerusi program Christchurch Memorial Day

saya tidak menyangka masyarakat New Zealand sangat terbuka terhadap agama Islam selain sangat mementingkan isu kemanusiaan berbanding keagamaan.

"Tragedi ini menimbulkan kesedihan dan perasaan simpati terhadap mangsa tanpa mengira agama dan bangsa," katanya yang juga ahli jawatankuasa program di Christchurch.

Seorang lagi peserta yang juga peserta termuda, Nor Syabilah Najwa, berkata, banyak perkara baharu yang dipelajarinya sepanjang program itu yang akan berakhir September ini.

"Selepas sebulan mengikuti program ini, banyak dapat dipelajari termasuk cara berkomunikasi, menulis surat yang betul dan berurusan dengan orang atasan," katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang juga pelajar tahun akhir Kos Komunikasi Media Baharu, FKP bersyukur dapat mengikuti program yang membolehkannya menimba ilmu dan pengalaman luar.

"Alhamdulillah, pengalaman yang saya peroleh menerusi program ini nyata jauh berbeza dengan apa yang dipelajari dalam bilik kuliah.

"Sebaliknya, apa yang dipelajari di dalam dewan kuliah dapat dipraktikkan sepanjang program termasuk membuat video, menulis artikel laporan, cara berurusan dengan media TV, radio, akhbar dan sebagainya," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:00am
d