mutakhir

Sultan Ibrahim berkenan hidupkan semula perlantikan Mejar Cina

Oleh Mohamed Farid Noh

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melantik Pengurus Ladang Sawit Mado's, David Wong Khoong Soon sebagai Mejar Cina berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Ibrahim dengan hak dan kuasa baginda mengikut Fasal (2) (b) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 melantik Khoong Soon yang juga keturunan Wong Ah Fook.

Katanya, Khoong Soon akan menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan lain-lain Yayasan Diraja Johor selain pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat.

"Ia untuk mengenal pasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan kurniaan keperluan makanan dan lain-lain kepada Bangsa Johor khasnya masyarakat Cina di dalam daerah menjalankan tugas itu.

"Mejar Cina Wong Khoon Soon tidak disifatkan sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak imbuhan, kemudahan atau keistimewaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Sultan Ibrahim berkenan supaya gelaran Mejar Cina yang pernah dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah Johor moden.

Katanya, Sultan Abu Bakar pernah melantik Kangcu Kangkar Tebrau, Tan Hiok Nee dan Kangcu Kangkar Skudai masing-masing sebagai Mejar Cina dan Kapitan Cina serta menjadikan mereka sebagai Ahli Dewan Negeri mewakili masyarakat Cina.

Beliau berkata, Temenggong Daeng Ibrahim pada 1840 membenarkan pengikut baginda daripada bangsa Cina berpindah dari Singapura ke tanah besar Johor dan membuka penempatan dinamakan Kangkar di tebing Sungai Tebrau.

"Pada 1870, terdapat 29 Kangkar di Johor. Masyarakat Cina dibenarkan menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

"Seorang ketua dalam kalangan penduduk Kangkar sebagai Kangcu dilantik untuk mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

"Mereka yang berkebolehan di antara Kangcu dilantik sebagai Kapitan Cina dan Mejar Cina," katanya.

Abdul Rahim berkata, antara tugas mereka adalah menjadi perantaraan bagi menyalurkan sebarang titah raja kepada rakyat khasnya bangsa Cina dan mendapatkan maklum balas untuk dijadikan asas perancangan serta menentukan mereka tidak dipinggirkan.

"Selain itu, ia bagi membentuk masyarakat, mengukuhkan perpaduan mereka dengan Maharaja Abu Bakar menjemput lebih ramai orang Cina, orang kepulauan Indonesia, India dan negeri Melayu untuk bermastautin dan bekerjasama membangunkan Johor," katanya.

Katanya, masyarakat Cina pada 1873 membina dan membangunkan Dewan Cina di Istana Besar kepada Maharaja Abu Bakar untuk dijadikan tempat mesyuarat dewan negeri dan perjumpaan dengan Kangcu setiap tahun.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 1:41pm
d