mutakhir

Tidak fikir jawatan - Azmin

Oleh Noorazura Abdul Rahman

AHLI Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendiriannya tidak mahu memikirkan soal jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang baharu disertai pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, fokus ketika ini adalah untuk menyalurkan khidmat kepada parti berkenaan selain kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

"Saya bersama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan beberapa ahli parlimen lain menyertai Bersatu sebelum ini bukanlah untuk memikirkan soal kedudukan, tapi kami mahu kukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

"Kita hanya mahu berkhidmat kepada parti dan kerajaan, lagi pun saya sudah bersama Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi pemimpin UMNO lagi, saya antara penyokong kuat beliau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kedah/Perlis di Alor Setar, malam tadi.

Pada 23 Ogos lalu, NSTP melaporkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata

kedudukan Mohamed Azmin akan dibincangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi melantik beliau sebagai seorang daripada naib presiden.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya memberitahu bahawa beliau lebih selesa berkawan atau bekerjasama dengan PAS dan UMNO dalam usaha memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil daripada diheret dengan kemelut perebutan jawatan Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Azmin turut menyatakan keyakinan bahawa gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 9:48am
d