8 rekaan moden baju raya wanita berbadan besar mampu serlah keanggunan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Memiliki tubuh gempal tidak bermakna seseorang turut ketinggalan dalam fesyen kerana melaluinya penampilan diri dapat diserlahkan dan menjadikan wanita tampak lebih berkeyakinan dan sempurna.

Menyedari kesukaran buat wanita bertubuh comel mendapatkan pakaian mengikut trend terkini membuatkan pemilik butik Effie Sabrina Collections, Effie Norsabrina Md Yusof mengilhamkan rekaan khusus buat wanita bertubuh gempal.

Effie berkata, butik dalam talian diasaskannya sejak 2009 pada mulanya dikenali dengan nama Curvy Queens Closet dan hanya menjual produk terpakai sebelum mula mengambil stok dari luar negara memandang­kan ketika itu di Malaysia tiada banyak pilihan untuk saiz besar.

“Butik untuk saiz besar ini tercetus selepas melahirkan anak kedua, ketika itu badan saya agak gempal dan agak sukar mencari pakaian bersaiz 3XL. Penjualan baju terpakai mendapat sambutan menggalakkan ketika itu dan saya mengembangkan perniagaan ­dengan memborong pakaian baru untuk dijual kepada pelang­gan.

“Agak mengecewakan juga kerana saya sendiri sukar mencari baju saiz besar yang cantik sebagaimana wanita yang berbadan kecil dan kurus dapat membeli-belah pakaian untuk saiz mereka yang terlalu banyak pilihan

di pasaran. Kalau ada pun pilihan pakaian untuk saiz besar, rata-ratanya agak ketinggalan atau sesuai untuk mereka yang berumur.

“Dari situ saya terfikir mengapa tidak saya sendiri yang menghasilkan rekaan yang saya minati. Pada 2011 saya menyiapkan rekaan sendiri untuk saiz besar sehingga 10XL di bawah butik Effie Sabrina Collections,” kata­nya.

Sempena Syawal ini, butik terbabit turut menghasilkan baju raya khusus untuk wanita bertubuh besar atau gempal dengan lapan rekaan baru yang moden dan mampu menyerlahkan keanggunaan pemakai.

Warna pilihan pula mengikut trend semasa seperti biru royal, hijau emerald, merah jambu terang, ungu, merah jambu belacan, hitam dan biru navy.

Kebanyakan rekaan untuk koleksi hari raya butik ini meng­gunakan fabrik lycra Korea berkualiti tinggi kerana bentuk ukuran badan saiz besar berbeza, tidak sama dengan saiz S ke XL, jadi agak sukar menggunakan material lain jika tidak mengikut ukuran badan tepat pelanggan.

Sehingga kini, butik itu menerima permintaan memberangsangkan dari luar negara terutama dari Singapura, Brunei dan Australia. Selain stok sedia ada, Effie turut menerima tempahan untuk pakaian pengantin dan acara khas.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, apa yang penting, setiap rekaan yang dihasilkannya haruslah dapat menjadikan pelanggan kelihatan lebih langsing selain menyerlahkan keanggunan mereka.

“Setiap rekaan kami ada ciri khas yang melindungi kekurangan pemakai seperti lebihan lemak dengan meletakkan perincian tertentu supaya orang tidak fokus pada kekurangan si pemakai. Mungkin agak sukar hendak lindungi semua bahagian tapi sekurang-kurangnya kita dapat menyorokkan satu bahagian wanita bertubuh gempal ini,” katanya.

Effie turut merancang menghasilkan lebih banyak pilihan buat wanita saiz besar bagi pakaian kasual dan pakaian pejabat terutama berciri Muslimah kerana sebelum ini butik berkenaan lebih fokus kepada penghasilan baju kurung dan jubah.

Koleksi butik ini boleh didapati melalui Facebook effie Sabrina collections, Instagram effiesabrina_plussize atau effiesabrina.blogspot.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:03 AM