mutakhir

Habis duit aku...

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Akibat terpedaya dengan penipuan Macau Scam, seorang pesara guru berputih mata apabila wang persaraan berjumlah RM460,000 ditipu ahli sindiket yang menyamar kakitangan sebuah syarikat penghantaran kurier, bulan lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jenayah Korporat dan Kewangan Johor, Superintendan Amran Md Jusin berkata, lelaki berusia, 64, itu yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam.

Menurutnya, kes bermula apabila mangsa dihubungi suspek pada 11 Ogos lalu yang memaklumkan kononnya terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa diterima syarikat kurier berkenaan.

Katanya, mangsa juga kononnya didakwa terbabit dengan jenayah penggubahan wang haram dan dikehendaki memindahkan sejumlah wang miliknya ke beberapa akaun untuk siasatan lanjut jika tidak mahu tindakan diambil terhadapnya.

"Mangsa turut didakwa akan diheret ke mahkamah dan didakwa atas kesalahannya dengan hukuman berat.

"Ia menyebabkan warga emas itu ketakutan dan percaya mengenai dakwaan berkenaan kemudian membuat 20 transaksi pemindahan wang berjumlah RM459,041.90 ke beberapa akaun seperti diarahkan suspek antara 11 hingga 28 Ogos lalu.

"Bagaimanapun, mangsa mengesyaki beliau ditipu selepas suspek tidak dapat dihubungi semula sebaik wang miliknya selesai dipindahkan seperti arahan suspek, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau berkata, polis berulang kali menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan yang diterima menerusi panggilan telefon.

"Jangan panik apabila menerima panggilan sedemikian. Agensi penguat kuasa tidak akan sesekali meminta butiran akaun bank apatah lagi mengarahkan wang dipindahkan ke akaun bank lain.

"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi balai polis berdekatan manakala semakan akaun bank suspek boleh dibuat menerusi laman www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi menyemak sama ada akaun berkenaan terbabit dengan aktiviti penipuan, " katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta sentiasa berwaspada jika menerima panggilan yang membabitkan wang atau harta mereka dan tidak sewenang-wenangnya memberi apa-apa butiran atau menyerahkan wang kepada individu tidak dikenali.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 2:09pm
d