mutakhir

Penerbangan ihsan selamatkan wanita Orang Asli

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kesukaran menghantar wanita Orang Asli di Pos Gob sakit mahu bersalin ke Hospital Gua Musang (HGM) kerana jalan darat terputus menyebabkan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Wani Uda, 31, yang sudah seminggu sakit mahu bersalin kemudiannya diselamatkan menerusi penerbangan ihsan Unit Udara JBPM pada 12.33 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, helikopter Agusta A109E berlepas dari Subang pada 11.27 pagi selepas menerima laporan mengenainya daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 9 pagi.

Menurutnya, penerbangan itu diketuai juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizal Abd Latif dan dibantu penolong juruterbang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazli Ezham Jamil.

Katanya, pihaknya dimaklum laluan ke Kampung Tembaga, Pos Gob masih belum boleh dilalui selepas berlaku kerosakan teruk dalam kejadian banjir lumpur kira-kira dua bulan lalu.

"Pesakit itu terus diterbangkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 1.03 tengah hari.

"Wanita berkenaan yang ditemani bapanya sebagai pengiring dalam keadaan stabil kemudiannya dikejarkan ke HGM dengan ambulans," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 1:58pm
d