mutakhir

Tahan tiga lelaki, dadah RM2.5 juta [METROTV]

Oleh Amir Mamat

Melaka: Operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman, Jumaat lalu membolehkan tiga lelaki disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah, ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Serbuan itu turut merampas 51 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM2.5 juta, selain menyita dua kenderaan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan pertama di Klebang Kechil, di sini menahan seorang kontraktor berusia 56 tahun bersama anak lelakinya berusia 27 tahun.

"Pemeriksaan ke atas mereka menemui 20 bungkusan dadah disyaki syabu dalam beg yang diletakkan dalam but kereta.

"Serentak itu, anggota JSJN Bukit Aman menjalankan operasi di Benut, Pontian, Johor dan menahan lelaki berusia 49 tahun di kawasan tempat letak kereta, bersama beg berisi 30 bungkusan dadah jenis sama yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang kereta.

"Keseluruhan dadah berjumlah 51 kg yang bernilai RM2.5 juta. Dua kereta suspek disita dianggarkan bernilai RM45,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Zulkiflee berkata, pihaknya percaya dadah itu untuk edaran pasaran tempatan dan negara jiran, malah kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, tiga suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 2 Oktober untuk siasatan lanjut.

"Kejayaan ini hasil siasatan dan risikan polis dalam usaha membanteras jenayah dadah di Melaka. Kita juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 2:32pm
d