arena

Atalanta, Inter garang benam lawan

Oleh AFP

Milan: Papu Gomez meledak dua gol ketika Atalanta menewaskan Lazio 4-1 di Rome manakala pencabar gelaran Serie A, Inter Milan membelasah pendatang baharu, Benevento 5-2, awal pagi tadi.

Dua aksi pembukaan kedua-dua kelab musim ini dilewatkan kerana pembabitan Atalanta dan Inter dalam kempen Eropah pada Ogos lalu.

Dua seteru dari utara itu mempamerkan ketajaman jentera serangan yang diharapkan mampu menyekat Juventus meraih gelaran ke-10 berturut-turut dengan juara bertahan itu hanya seri di Roma pada Ahad lalu.

Atalanta dan Inter kini menduduki tempat teratas Serie A bersama Napoli, Hellas Verona dan AC Milan dengan enam mata maksimum daripada dua perlawanan.

Juve meraih empat mata sebelum mereka menerima kunjungan Napoli pada Ahad ini.

Atalanta mendahului tiga gol pada babak pertama menerusi Robin Gosens, Hans Hateboer dan Gomez sekaligus mengelak episod musim lalu yang membenarkan Lazio bangkit 3-3 selepas ketinggalan tiga jaringan.

Felipe Caicedo menjaringkan gol Lazio pada minit ke-57 sebelum Gomez meledak gol keduanya empat minit kemudian.

"Skuad ini sama seperti musim lalu dan ini kekuatan kami,'' kata Hateboer yang pasukannya mengakhiri kempen musim lalu di tangga keempat.

"Tetapi masih terlalu awal bercakap mengenai Scudetto."

Sementara itu, bintang Inter Milan, Romelu Lukaku menjaringkan dua gol dengan yang pertama dalam masa 30 saat selain Achraf Hakimi yang turut menyerlah dalam aksi pertamanya musim ini.

"Saya sangat gembira dengan cara saya menyesuaikan diri dengan pasukan dan saya masih perlu belajar beberapa mekanisma tertentu,'' kata Hakimi.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 9:06am
d