akademia

Vice '20 berjaya dalam talian

Oleh Suliati Asri

Kelab UTM IET On Campus, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya melaksanakan Program

Virtual Capstone Experience 2020 (ViCE '20) secara dalam talian selari dengan norma baharu.

Program julung kali diadakan itu adalah kolaborasi antara UTM dan Shibaura Institute of Technology (SIT), Jepun.

Pengarah ViCE '20 Yusril Ehza Mahendra Sappe berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar mengenai projek capstone yang akan menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat setempat.

Katanya, program ini juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar sepanjang program dan bertukar pengetahuan mengenai pengurusan projek secara dalam talian.

"ViCE '20 juga dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai Internet of Things (IoT) berikutan Revolusi Industri 4.0.

"Memandangkan program itu dijalankan secara dalam talian, jadi cabaran terbesar program ViCE '20 adalah dalam menyediakan kaedah terbaik bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu UTM dan SIT dapat menerima dan memahami intipati bengkel.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan kerjasama daripada semua peserta dari UTM yang turut bertindak sebagai jawatankuasa program," katanya.

Program ini disertai 11 pelajar Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) dari UTM dan 20 pelajar dari SIT. Pensyarah kanan dari SKE, Dr Rashidah Arsat dan Dr Zaharah Johari serta Prof Dr Hiroaki Morino dan Prof Dr Ryota Horie dari SIT bertindak sebagai penasihat program.

Selain SIT, program ini turut menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Johor sekali gus mencadangkan aktiviti temu bual dilaksanakan di Flat Laman Tasik Pandan dan Flat Temenggung Kulai.

Menerusi temu bual itu, ViCE '20 dapat mengenal pasti masalah dihadapi penduduk antaranya masalah pembuangan sampah, tempat meletak kenderaan yang tidak sistematik dan masalah keselamatan penduduk semasa berada di kawasan rumah disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Penolong Pengarah Kanan LPPKN Zakiah yang juga antara panel penilai projek dihasilkan pelajar nyata teruja dengan idea yang disampaikan ketika pembentangan secara dalam talian.

"Pelajar nyata menghasilkan idea yang sangat menarik perhatian dan saya amat menghargainya," katanya.

Dengan mengadaptasi kursus Projek Capstone

yang wajib diambil pelajar tahun akhir SKE, program ini berjaya menghasilkan lima cadangan reka bentuk konsep seperti Smart Trash Chute, The Aromatic Bin dan Smart Parking Lot System.

Program ini juga menyediakan beberapa seminar yang dilaksanakan secara dalam talian yang disampaikan pensyarah UTM, seminar industri dari Willing.Inc, Jepun dan bengkel Arduino serta Blynk.

Sementara itu, Presiden Kelab UTM IET On Campus

Muhamad Hilman Haris berkata, program sebegini bakal dilaksanakan lagi dengan persediaan yang lebih rapi.

"Program ini mendapat maklum balas yang baik daripada kedua-dua universiti dan kami merancang untuk mengadakan program ini secara berkala," katanya yang menyenaraikan

Korea, Indonesia dan Thailand sebagai senarai negara untuk program seterusnya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:20am
d