arena

Garcia rangkul trofi Sanderson Farms

Oleh AFP

Washington: Sergio Garcia hanya perlu menolak lemah bola bagi menghasilkan birdie pada lubang terakhir untuk muncul juara Kejohanan Sanderson Farms awal pagi tadi, sekali gus meraih kejuaraan PGA Amerika Syarikat (AS) pertama sejak mengungguli Masters pada 2017.

Pemain berusia 41 tahun itu berjaya mendekatkan bola dengan lubang pada jarak satu meter dan membenam eagle di lubang ke-14 untuk menyamai pendahulu Peter Malnati.

Kemudian dia melakukan pukulan sejauh 156 meter sebelum bola mendarat hanya 76 sentimeter dari lubang pada lubang ke-18 dan menyelesaikannya dengan putt kejuaraan.

"Ia sangat menggembirakan. Ia luar biasa. Sebenarnya hadir dengan kerja keras," kata Garcia selepas melemparkan senyuman dan meraikan kejayaan dengan menggenggam tangan ke ke atas.

Garcia melakukan lima di bawah par 67 di Country Club of Jackson, Mississippi, dengan jumlah keseluruhan 19 di bawah par 269 dan mengetepikan Malnati, yang mendahului saingan selama dua jam.

"Permainan seperti ini yang saya idamkan. Saya berjaya melakukannya setiap hari. Ia membuatkan saya teruja dan ia memang sangat sengit. Saya rasa seperti memenangi kejohanan," kata Malnati.

Garcia menghadiahkan kemenangan kepada bapanya, Victor Garcia, yang kehilangan dua saudara kandung selepas dijangkiti Covid-19.

"Ia sangat sukar. Saya kehilangan dua bapa saudara disebabkan Covid. Ia juga sangat sukar buat bapa saya namun kemenangan ini adalah untuknya," kata Garcia.

Garcia, yang berjaya meraih kejuaraan PGA AS sebagai seorang bapa, meraih tiga gelaran Jelajah Eropah sejak menyarung jaket hijau namun dia berada di kedudukan ke-51 dunia.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 12:41pm
d