mutakhir

Agih 1,000 pelitup muka untuk murid sekolah di Labis

Oleh Hazri A Bakar

Segamat: Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP) hari ini menyumbangkan kira-kira 1,000 pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk murid sekolah rendah di sekitar Labis, di sini.

Pengerusinya, Datuk Tan Lek Khang berkata, sumbangan itu adalah usaha berterusan pihaknya dalam memastikan pelajar luar bandar sentiasa dibantu terutama keperluan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, murid luar bandar perlu diberi tumpuan khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Sebelum ini kami ada hantarkan bekalan pelitup muka pakai buang pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan begitu juga dengan hari ini.

"Kami sedang mendapatkan bekalan bagi menyalurkan pelitup muka yang boleh dipakai ulang bersaiz kanak-kanak untuk mengurangkan beban ibu bapa," katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bekok, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bekok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bekok.

Sebuah sekolah khusus bagi anak-anak Orang Asli, SK Kampung Kudung turut menerima sumbangan pelitup muka dan wang tunai bagi membaiki surau sekolah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 4:11pm
    d