mutakhir

Halang tugas polis, pemilik gerai makan ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Sudahlah tidak memakai pelitup muka, malah seorang wanita yang juga pemilik gerai makan turut menghalang tugas polis selain turut merakam video serta gambar polis.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 49 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan polis yang membuat tugas pemantauan Op Covid-19 di kawasan Pasar Jalan Othman, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat pemantauan itu pada jam 3.40 petang di sebuah gerai makan di pasar berkenaan.

Menurutnya, namun berlaku provokasi yang sengaja dilakukan pemilik gerai iaitu seorang lelaki dan wanita kerana enggan bekerjasama dengan polis.

"Kita menegur mereka untuk memakai pelitup muka serta minta untuk menyerahkan Mykad untuk diperiksa namun tidak diendahkan.

"Wanita terbabit turut menjawab dengan nada tinggi dan mempertikaikan tugas polis sebelum terus merakam video serta gambar polis yang sedang bertugas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan itu, polis menahannya dan merampas telefon bimbit dan direman dua hari kerana menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Mereka berdua turut dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tidak memakai pelitup muka.

"Kita turut menahan seorang lelaki, 36, dan wanita warga asing, 46, di sebuah premis di Jalan SS 22/11 Damansara kerana mengaji pekerja asing tanpa permit sah dan tidak menyediakan alat pengimbas suhu badan, buku catitan, senarai nama pelanggan dan tidak cecair pembasmi kuman," katanya.

Beliau berkata, seramai 27 orang pula dikompaun mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak fizikal.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 8:59pm
d