spektrum

Tukang paip pembuat rebana

Oleh BERNAMA

Pasir Salak: Minat mendalam terhadap irama dan alunan hasil paluan rebana mendorong seorang lelaki menukar kerjayanya daripada tukang paip kepada pembuat rebana.

Kassim Ibrahim, 43, berkata beliau mula melibatkan diri menghasilkan alat muzik itu yang cukup sinonim dengan orang Melayu, sejak empat tahun lalu.

Bahkan kini, bapa kepada empat orang anak itu boleh berbangga apabila bukan sahaja pandai bermain rebana tetapi juga menjadi guru mengajar mereka yang berminat membuat rebana.

"Disebabkan saya bermain rebana dan mengajar membuat rebana, maka saya mahukan kualiti bunyi yang baik, sebab itu walaupun tanpa bimbingan sesiapa saya cuba membuatnya dengan menggunakan kelengkapan sendiri," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pasir Panjang Ulu di sini, baru-baru ini.

Menurut Kassim, beliau menghasilkan empat jenis rebana iaitu penengkah, penyelang, pembandung dan pelalu yang kesemuanya diperbuat daripada kayu halban serta kulit lembu jantan berumur tiga tahun ke atas.

Katanya, proses penghasilan bermula dengan memotong kayu sehingga berbentuk bulat mengikut diameter tertentu, membuat bingkai atau dipanggil melarik, memasang dan melicinkan kulit sebelum mencantikannya.

"Kulit lembu saya beli secara pukal dengan harga RM100 sekeping manakala kayu halban saya peroleh dari kawasan hutan sekitar.

"Untuk mengeringkan kulit lembu ia memakan masa antara dua minggu sehingga sebulan," katanya.

Beliau berkata untuk menghasilkan sebiji rebana 'penengkah' yang menghasilkan bunyi lebih kuat, ia memakan masa sehingga enam bulan kerana kulit lembu perlu diregangkan secukupnya namun untuk rebana 'pelalu' dan lain-lain hanya mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja.

Menyifatkan rebana sebagai simbol kasih sayang kerana ia perlu dimainkan secara berpasangan, Kassim berkata, satu set alat muzik tradisional itu yang mengandungi 10 pelalu serta masing-masing satu penengkah, penyelang dan pembandung berharga sekitar RM2,700 hingga RM3,000.

"Bukan semua orang boleh membuat rebana kerana ia memerlukan ketelitian, kesabaran dan kasih sayang yang tinggi. Kalau untuk mengejar keuntungan memang tidak boleh, kerana tenaga, masa dan kos yang keluar tidak berbaloi dengan harga jualan," katanya.

Ditanya berhubung 'masa depan' rebana, Kassim berkata pihak bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu supaya seni warisan Melayu itu tidak dilupakan.

"Kumpulan yang bermain alatan rebana ini masih ramai, cuma pembuatnya mungkin tidak ramai, saya berharap ia dapat diberi perhatian agar warisan ini tidak terkubur begitu sahaja.

"Satu kerugian sekiranya seni rebana ini dilupakan oleh generasi masa kini," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 1:31pm
d