arena

De Bruyne tersisih dari skuad Belgium

Oleh Agensi

London: Kevin de Bruyne menarik diri dari skuad Belgium yang akan berdepan Iceland awal pagi Khamis ini dan kembali ke Manchester City.

Perancang tengah berusia 29 tahun itu, dikeluarkan selepas 73 minit permainan ketika pasukannya tewas 1-2 kepada England dalam aksi Liga Negara-Negara di Wembley semalam.

"DeBruyneKev kembali ke kelabnya," menurut Twitter skuad kebangsaan Belgium.

"Dia tidak cukup cergas untuk beraksi menentang Iceland."

Belgium di tempat kedua satu mata di belakang England dalam Kumpulan A2 selepas tiga perlawanan Liga Negara-Negara.

Perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan City berdepan Arsenal di Stadium Etihad adalah tengah malam Sabtu ini.

Selepas perlawanan berdepan England, pengurus Belgium, Roberto Martinez merehatkan pemain yang masih dihimpit kecederaan sambil menjelaskan De Bruyne di bawa keluar kerana "sebagai langkah awal mengelakkan sesuatu yang lebih teruk kerana dia tidak cergas 100%".

De Bruyne akan menyertai rakan sepasukan Raheem Sterling - yang menarik diri dari skuad England bagi perlawanan antarabangsa kali ini - ketika dia masih bergelut dengan kecergasan bagi perlawanan menentang Arsenal.

City berada di kedudukan ke-14 carta Liga Perdana dengan memungut empat mata daripada tiga perlawanan awal mereka.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 8:36am
d