mutakhir

Bekas peguam didakwa guna dokumen mahkamah palsu

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas peguam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen mahkamah palsu, empat tahun lalu.

Abd Malek Mohamad Nor, 60, yang kini tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa telah menggunakan sebuah dokumen palsu iaitu dokumen perintah saman pemula bertarikh 27 April 2016 dari Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat firma guaman Malek & Associates di Binjai 8, Lorong Binjai 2, di sini, pada 23 Jun 2016 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan wang jaminan, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Juflis memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

"Tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah dan beliau tidak lagi bekerja selepas diisytihar muflis tiga tahun lalu," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 2:32pm
d